Monday, August 31, 2009

Strategi Penulisan Karangan Berpandu SPM BM

1. Kenal pasti kehendak soalan berdasarkan tema soalan.
2. Tulis karangan tersebut dalam 5 atau 6 perenggan meliputi perenggan pendahuluan, perenggan isi dan perenggan penutup.
3. Jenis-jenis ayat yang terdapat dalam setiap perenggan tersebut adalah seperti berikut:-
a) Perenggan pengenalan hendaklah terdiri daripada 3-4 ayat rangsangan dan satu ayat arahan. Ayat rangsangan ialah ayat yang berkaitan dengan tema atau ayat yang menyentuh tema secara umum, manakala ayat arahan ialah ayat yang mempunyai kata kunci soalan atau ayat yang menunjukkan hala tuju karangan.

b) Perenggan isi terdiri daripada ayat judul, ayat huraian, ayat contoh dan ayat penegas. Ayat judul ialah ayat isi utama, iaitu ayat yang menyatakan isi penting karangan tersebut. Ayat huraian ialah ayat yang menjelaskan isi karangan. Ayat contoh pula ialah ayat yang memasukkan contoh bagi memperkukuhkan isi yang dikemukakan. Ayat penegas ialah ayat yang memberikan penegasan tentang isi dan huraian yang dikemukakan dalam perenggan tersebut.


c) Perenggan penutup terdiri daripada ayat kesimpulan, ayat pendapat, ayat penilaian, ayat cadangan, ayat harapan dan sebagainya. Ayat kesimpulan ialah ayat yang memberikan pendapat secara keseluruhan tentang karangan yang ditulis. Ayat penilaian terdiri daripada ayat yang membuat penilaian tentang sesuatu isu atau perkara. Ayat cadangan pula mengandungi unsur saranan atau cadangan untuk mengatasi atau membuat sesuatu. Ayat harapan ialah ayat yang mengandungi harapan penulis berkaitan sesuatu cadangan.

No comments:

Post a Comment