Sunday, August 2, 2009

PERIBAHASA

1. ikut resmi padi, makin tunduk makin berisi
Jawapan: Semakin tinggi ilmu seseorang itu, semakin merendah diri sifatnya.

2. baik membawa resmi padi daripada membawa resmi lalang
Jawapan: Mengikut sifat orang berilmu yang suka merendah diri daripada bersikap sombong.

3.buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali
Jawapan: Berbuat baik biarlah berpatutan tetapi janganlah berbuat jahat sama sekali.

4. harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama
Jawapan: Perkara yang selalu dikenang apabila seseorang telah tiada ialah nama baiknya.

5. hidup kayu biar berbuah, hidup manusia biar berjasa
Jawapan: Berbuat baiklah semasa masih hidup untu diri dan masyarakat dan jangan berbuat jahat.

6. kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau
Jawapan: Orang yang berketurunan baik, ke mana dia pergi akan menjadi baik juga akhirnya.

7. umpama minyak setitik, di laut sekalipun timbul juga
Jawapan: Orang yang baik jika berada di mana-manapun akan dimuliakan orang juga.

8. alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan
Jawapan: Setiap perbuatan mesti dilakukan bersungguh-sungguh sehingga mendapat hasil yang baik.

9. bagai lebah menghimpun madu
Jawapan: Orang yang sangat rajin mencari ilmu atau harta.

10. cepat kaki, ringan tangan
Jawapan: Orang yang rajin dan cekap bekerja.

11. genggam bara api biar sampai jadi arang
Jawapan: Melakukan sesuatu pekerjaan biarlah sehingga mendapat hasil.

12. kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Jawapan: Kita tidak akan mendapat hasil jika kita tidak berusaha.

13. malas bergarit perut perit
Jawapan: Sikap malas berusaha akan menyebabkan kita mendapat kesusahan.

14. malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan
Jawapan: Orang yang malas tidak akan maju.

15. seperti anai-anai makan kayu
Jawapan: Mengerjakan sesuatu pekerjaan dengan tekun dan rajin.

16. yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang
Jawapan: Sesuatu hasil yang dihajatkan mestilah diikuti dengan usaha yang rajin kerana rezeki tidak datang dengan sendiri.

17. bagai beliung dengan asahan
Jawapan: Perhubungan sahabat yang sangat rapat.

18. biduk berlalu kiambang bertaut
Jawapan: Dua pihak yang bergaduh akan berbaik-baik semula apabila tiada penghasutnya.

19. buang yang keruh ambil yang jernih
Jawapan: Melupakan perkara yang tidak baik dan mengingati perkara yang baik sahaja.

20. cubit peha kanan peha kiri terasa juga
Jawapan: Jika orang yang rapat dengan kita mendapat kesusahan, kita akan merasakan kesusahan itu juga.

21. enggang dengan enggang, pipit dengan pipit, baru boleh terbang bersama
Jawapan: Perhubungan yang sama taraf.

22. ibarat telur semangkuk/ sesangkar, pecah sebiji pecah semua
Jawapan: Jika seseorang ahli dalam sesuatu kumpulan mendapat susah, ahli yang lain juga turut merasai kesusahannya.

23. ikan di laut, asam di darat, di dalam periuk bertemu juga
Jawapan: Jikalau ada jodoh, di mana-mana pun akan ditemukan juga.

24. jauh bau bunga, dekat bau tahi
Jawapan: Kaum keluarga yang tinggal berjauhan akan berasa rindu tetapi jika tinggal berdekatan akan selalu berkelahi.

25. kalau bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi
Jawapan: Sesuatu perkara tidak akan berlaku jika melibatkan seorang sahaja.

26. mati anak berkalang bapa, mati bapa berkalang anak
Jawapan: Hubungan anak dengan bapa yang sangat baik dan saling bertolongan.

27. seperti pungguk rindukan bulan
Jawapan: Seseorang yang sentiasa mengingati dan merindui kekasihnya.

28. ikut hati mati, ikut rasa binasa
Jawapan: Orang yang mengikut kehendak nafsu akan musnah hidupnya.

29. nasi sudah menjadi bubur
Jawapan: Perbuatan yang sudah terlanjur dan tidak dapat diubah lagi.

30. sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan
Jawapan: Kita hendaklah berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu pekerjaan agar tidak menyesal kemudian hari.

31. sudah terantuk baru tengadah
Jawapan: Sudah ditimpa kemalangan barulah hendak beringat-ingat/ berhati-hati.

32. air yang tenang jangan disangka tiada buaya
Jawapan: Orang yang pendiam jangan disangka bodoh atau penakut.

33. alah membeli menang memakai
Jawapan: Biarlah membeli barang yang berkualiti dan lebih mahal harganya asalkan barangan itu tahan lama.

34. berjalan pelihara kaki, bercakap pelihara lidah
Jawapan: Melakukan sesuatu pekerjaan dengan berhati-hati.

35. biar titik jangan tumpah
Jawapan: Lebih baik rugi sedikit daripada rugi banyak.

36. cencaru makan petang
Jawapan: Mendapat keuntungan atau kemenangan pada saat-saat akhir.

37. cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar
Jawapan: Seseorang itu mestilah berhati-hati apabila bercakap atau memberi pendapat tentang sesuatu perkara.

38. cicir dipungut, hilang di cari
Jawapan: Jangan membazirkan sesuatu makanan hanya kerana ingin berjimat.

39. ukur baju di badan sendiri
Jawapan: Berbelanja atau melakukan sesuatu perkara biarlah mengikut kemampuan diri kita sendiri.

40. sediakan payung sebelum hujan
Jawapan: Berjaga-jaga lebih baik sebelum bencana atau perkara buruk berlaku.

41. sekali jalan terkena, dua kali jalan tahu
Jawapan: Sekali kita tertipu, akan membuatkan kita lebih berhati-hati.

42. seperti air dalam kolam
Jawapan: Orang yang bersifat dan kelihatan tenang.

43. terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya
Jawapan: Berhati-hati apabila bercakan kerana ditakuti akan menyinggung perasaan orang lain.

44. cacing hendak menjadi naga
Jawapan: Orang biasa yang cuba bertindak seperti orang besar/ berpengaruh.

45. membujur lalu melintang patah
Jawapan: Seseorang yang tidak takut pada halangan atau cabaran.

46. bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana maufakat
Jawapan: Mencapai kata sepakat.

47. hati gajah sama di lapah, hati nyamuk sama dicicah
Jawapan: Pengagihan yang adil dan sama banyak.

48. ke bukit sama di daki ke lurah sama dituruni
Jawapan: Perhubungan yang sama akrab sehingga susah dan senang sanggup dihadapi bersama.

49. air orang disauk, ranting orang dipatah, adat orang diturut
Jawapan: Kita hendaklah patuh pada adat dan undang-undang di tempat kita berada.

50. di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Jawapan: Kita hendaklah patuh undang-undang dan peraturan di mana kita menetap.

51. hidup dikandung adat, mati dikandung tanah
Jawapan: Semasa hidup kita mesti mengikut peraturan dan adat, tetapi setelah mati kita akan mengikut hukum Tuhan.

52. kerbau dipegang talinya, manusia dipegang janjinya
Jawapan: Manusia akan dipercayai jika menepati segala janji.

53. masuk kandang kerbau menguak, masuk kandang kambing mengembek
Jawapan: Seseorang itu mestilah menyesuaikan diri dengan tempat di mana dia berada.

54. seperti kerbau dicucuk hidung
Jawapan: Seseorang yang hanya tahu mengikut kehendak atau arahan orang lain.

55. seperti belut pulang ke lumpur
Jawapan: Orang yang kembali ke tempat asalnya setelah lama merantau.

56. seperti gagak pulang ke benua
Jawapan: Orang yang pulang ke tempat asalnya setelah lama merantau.

57. seperti ikan pulang ke lubuk
Jawapan: Orang yang pulang ke tempat asalnya setelah lama merantau.

58. setinggi-tinggi bangau terbang, hinggap di belakang kerbau juga
Jawapan: Sejauh manapun seseorang itu merantau, akhirnya dia akan kembali ke tempat asalnya semula.

59. jangan bermain di air keruh
Jawapan: Perbuatan yang negative janganlah ditiru.

60. ke tengah boleh, ke tepi pun boleh
Jawapan: Orang yang dapat menyesuaikan diri dalam semua keadaan.

61. diam ubi berisi, diam besi berkarat
Jawapan: Orang yang berilmu biasanya diam kerana berfikir tetapi orang yang tidak berilmu selalunya banyak bercakap.

62. bagaikan harimau sembunyikan kuku
Jawapan: Orang berilmu yang menyembunyikan kelebihan dirinya.

63. jauhari juga yang mengenal manikam
Jawapan: Orang yang bijaksana sahaja tahu menilai kelebihan sesuatu perkara.

64. kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga
Jawapan: Sekiranya tiada ilmu untuk melakukan sesuatu perkara, lebih baik jangan melakukannya.

65. duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Jawapan: Orang yang sama taraf atau sepadan.

66. air yang dingin juga dapat memadamkan api
Jawapan: Kata-kata yang lemah lembut akan dapat meredakan kemarahan seseorang.

67. bagai menjaga intan dicanai
Jawapan: Kasih sayang yang amat tinggi.

68. karam sambal oleh belacan
Jawapan: Seseorang yang dikasihi tetapi merosakkan harta benda yang diberi kepadanya.

69. kasih ibu sepanjang jalan, kasih anak sepanjang pegangan
Jawapan: Kasih ibu bapa terhadap anak-anaknya berkekalan selama-lamanya, tetapi kasih anak kepada ibu bapa biasanya tidak tetap.

70. kasihkan anak tangan-tangankan, kasihkan isteri tinggal-tinggalkan
Jawapan: Mengasihi anak dan isteri biarlah berpatutan dan jangan terlalui dimanjai bagi mengelakkan perkara buruk berlaku.

71. bagai menatang minyak yang penuh
Jawapan: Menjaga anak yang dikasihi dengan penuh kasih dan sayang

72. bagai ditatang di anak lidah
Jawapan: Orang yang terlalu kasih akan anak dan isterinya.

73. kalau pandai meniti buih, selamat badan sampai seberang
Jawapan: Orang yang pandai membawa diri, ke mana-mana pun mereka pergi pasti akan selamat.

74. pandai menyelam air dangkal
Jawapan: Orang yang pandai membawa diri

75. timba air mandikan diri
Jawapan: Berusaha sendiri dengan tidak mengharapkan pertolongan orang lain.

76. yang tegak disokong, yang lemah ditopang
Jawapan: Orang kaya dimuliakan manakala orang miskin diberi pertolongan.

77. bagai duduk dengan cupak dan gantang
Jawapan: Rakyat yang hidup di bawah kepimpinan yang adil.

78. seduit dibelah tujuh
Jawapan: Pembahagian yang sama rata.

79. menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus tepung jangan terserak
Jawapan: Bijaksana dalam menyelesaikan masalah.

80. umpama jari di tangan ada bercincin ada tidak
Jawapan: Melaksanakan hukuman secara tidak adil.

81. nafsu-nafsi beraja di mata, bersultan di hati
Jawapan: Orang yang berkuasa dan bebas untuk melakukan apa-apa sahaja.

82. orang berdendang di pentasnya, orang beraja di hatinya
Jawapan: Setiap orang berkuasa di rumah masing-masing.

83. bagai kaduk naik junjung
Jawapan: Orang yang mengada-ngada.

84. bagai layang-layang terputus talinya
Jawapan: Hidup yang tiada berpedoman.

85. alah bisa tegal biasa
Jawapan: Kerja yang sukar kalau selalu dilakukan akan menjadi mudah.

86. ditelan mati emak, diluah mati bapa
Jawapan: Terlalu sukar membuat keputusan.

87. beras secupak tak akan jadi segantang
Jawapan: Kehidupan seseorang atau kemiskinan yang tidak mungkin dapat diubah.

88. kerana nyamuk seekor kelambu dibakar
Jawapan: akibat marah akan seseorang, semua orang dipersalahkan.

89. bagaikan hidup segan mati tak mahu:
Jawapan: Hidup dalam keadaan ala kadar/ sesuatu yang tidak sempurna

90. bagaikan itik pulang petang
Jawapan: Berjalan dalam keadaan berbaris-baris dalam satu kumpulan

No comments:

Post a Comment