Sunday, August 2, 2009

Puisi Tradisional terpilih 2009

Puisi Tradisional terpilih 2009

A. PANTUN ENAM KERAT (NOTA 1)


MAKSUD

1. Rangkap 1 -
cita -cita harus diutamakan di samping berani menghadapi apa-apa sahaja masalah dan rintangan demi memenuhi hajat di hati.
2. Rangkap 2 -
bunga yang sudah layu dan gugur ke bumi dianggap tidak berguna lagi begitulah juga halnya dengangadis yang sudah rosak akhlaknya .
3. Rangkap 3 -
usaha yang gigih amat penting untuk menambah harta atau untuk mencapai kejayaan dan alam dapat dijadikan panduan hidup.
4. Rangkap 4 -
kehilangan tempat bergantung harap menyebabkan kesusahan atau keadaan hidup yang tidak menentu kerana tidak tahu ke mana hendak mengadu.


ISI DAN PERSOALAN

1. Keberanian menempuh dugaan dan cabaran untuk mencapai cita-cita.
2. Orang yang rosak akhlaknya dianggap tidak berguna lagi.
3. Pentingnya kegigihan untuk mencapai kejayaan dan kesenangan dengan menjadikan alam sebagai sumber pengetahuan.
4. Kehilangan tempat bergantung menyebabkan kesusahan dan keadaan hidup yang tidak menentu


BENTUK DAN CIRI-CIRI PANTUN

1. Empat rangkap
2. Enam baris serangkap
3. Ada pembayang dan maksud .
4. Tiga hingga enam patah kata sebaris .
5. Lapan hingga sebelas suku kata sebaris .
6. Bentuknya terikat / tidak bebas .
7. rima akhirnya abcabc


GAYA BAHASA DAN KEINDAHAN BUNYI

1. Pemilihan kata yang indah .Contohnya; penakik pisau raut, setitik dijadikan laut
2. Bahasa kiasan .Contohnya ; telah patah tempat berpijak.
3. Perlambangan .Contohnya; bunga kembang sudah pun layu.
4. Sinkof .Contohnya; keris lembing aku tak takut.
5. Asonansi .Contohnya; jika tak maut merana juga (ulang vokal "a")
6. Aliterasi .Contohnya; telah patah tempat berpijak (ulang konsonan "t")


NILAI

1. Keberanian. Contohnya berani menempuh dugaan demi mencapai cita -cita.
2. Kegigihan . Contohnya gigih berusaha untuk menambah harta atau mencapai kejayaan
3. Berdikari .Contohnya terpaksa berusaha sendiri selepas hilang tempat bergantung.


PENGAJARAN

1. Kita hendaklah berani menghadapi cabaran demi mencapai cita-cita.
2. Kita hendaklah berhati -hati sebelum terlambat.
3. Kita harus gigih berusaha utk berjaya .
4. Kita hendaklah tabah menghadapi sebarang dugaan hidup

................................................................................................................................................

PANTUN ENAM KERAT (NOTA 2)


Ular tedung jangan dipermudah,
Biasanya dapat membawa maut,
Jika tidak maut merana juga;
Berhujan panas aku tak endah,
Keris lembing aku tak takut,
Kehendak hati kuturut juga.


Kuda liar berkeliling kota,
Kota terbuat dari kayu,
Tempat berkawal lasykar Feringgi;
Kami mendengar khabar angin,
Bunga kembang sudah pun layu,
Gugur ke bumi tidak harum lagi.


Penakik pisau raut,
Ambil galah sebatang lintabung,
Seludung dijadikan nyiru;
Setitik dijadikan laut,
Sekepal dijadikan gunung,
Alam terbentang dijadikan guru.


Sultan Muda dari Lampung,
Memikul cangkul dengan bajak,
Singgah minum di lepau nasi;
Sudah sekah tempat bergantung,
Telah patah tempat berpijak,
Ke mana hendak digapai lagi.


Permatang Budi, 1991
Fajar Bakti Sdn. Bhd.


MAKSUD

Rangkap Pertama :Hujan, panas, atau ancaman keris dan lembing tidak dihirau-kan asalkan dapat memenuhi hajat di hati.

Rangkap Kedua :Bunga yang sudah layu dan gugur ke bumi akan hilang harumnya; dianggap tidak berguna lagi.

Rangkap Ketiga: Sesuatu yang sedikit dijadikan banyak; alam pula dijadikan sumber ilmu.

Rangkap Keempat:Tempat bergantung hidup telah tiada; tidak tahu ke mana hendak mengadu.


PERSOALAN
1. Berani menempuh apa-apa dugaan dan cabaran untuk mencapai cita-cita.
2. Orang yang telah rosak akhlaknya dianggap tidak berguna dan dipandang hina.
3. Kegigihan untuk mencapai kejayaan atau kesenangan dengan menjadikan alam sebagai sumber pengetahuan dan panduan hidup.
4. Kehilangan tempat bergantung mengakibatkan kesusahan dan keadaan tidak tentu arah.


BENTUK PANTUN

1. Pantun enam kerat ini terdiri daripada empat rangkap.
2. Bilangan baris dalam setiap rangkap adalah sama, iaitu enam baris serangkap.
3. Bilangan kata dalam setiap baris tidak sama, iaitu antara tiga hingga enam patah kata sebaris.
4. Bilangan suku kata dalam setiap baris pun tidak sama, iaitu antara lapan hingga sebelas suku kata.
5. Rima akhir pantun ialah abcabc


GAYA BAHASA

1. Pemilihan katanya indah dan baris yang dibentuk adalah puitis.

Contohnya :
penakik pisau raut
setitik dijadikan laut

2. Penggunaan bahasa kiasan.

Contohnya, Telah patah tempat berpijak.

Dalam contoh di atas, telah patah maksudnya telah hilang atau telah tiada, sementara tempat berpijak maksudnya tempat seseorang bergantung harapan.


3. Perlambangan.

Contohnya, keris lembing
(pelbagai dugaan atau cabaran) (R1 B5), dan

Alam terbentang dijadikan guru

(Kejadian alam boleh dijadikan renungan dan memberi teladan dalam kehidupan) (R3 B6)


4. Sinkof. Contohnya, Berhujan berpanas aku tak endah (R1 B4) dan Keris lembing aku tak takut (R1 B5).


5. Imejan.

Contohnya, imej alam seperti bumi, gunung, laut, dan alam.


6. Unsur bunyi :
(a) Asonansi (pengulangan bunyi vokal).

Contohnya, Jika tak maut merana juga;

Dalam contoh ini, terdapat pengulangan bunyi vokal a sebanyak enam kali.


(b) Aliterasi (pengulangan bunyi konsonan).

Contohnya, Telah patah tempat berpijak,

Dalam contoh ini, terdapat pengulangan bunyi konsonan t sebanyak empat kali.


NILAI MURNI

1. Berani.
Contohnya, berani menempuh segala dugaan untuk mencapai cita-cita.

2. Kerajinan / Gigih.
Kita perlu rajin dan berusaha dengan gigih untuk mencapai cita-cita.

3. Berdikari.
Contohnya, terpaksa berusaha sendiri setelah hilang tempat bergantung.

4.Kesederhanaan.
Bersikap sederhana dalam tingkah laku dan jangan meninggi diri.

5.Rasional.
Berfikiran matang dalam bertindak


PENGAJARAN

1. Kita hendaklah rajin berusaha kerana bukan mudah untuk mencapai cita-cita. Banyak dugaan dan halangan yang perlu ditempuh dengan semangat yang tinggi.


2. Kita hendaklah bersikap sederhana kerana keindahan sesuatu hanya sementara sahaja. Oleh itu, janganlah meninggi diri dengan keistimewaan yang dimiliki kerana perkara tersebut tidak akan berkekalan.


3. Kita hendaklah peka dan merenung kejadian alam kerana akan memberi pelbagai pengajaran setelah dibuat perbandingan. Berfikirlah semasak-masaknya sebelum melakukan sesuatu.


4. Kita hendaklah bersikap rasional walaupun kehilangan orang yang dikasihi atau menjadi tempat bergantung hidup menjadikan kita kehilangan punca untuk terus menempuh kehidupan.Hadapilah segala dugaan dengan tabah kerana sepanjang kehidupan ini sememangnya dipenuhi cabaran.


5. Kita hendaklah berani menghadapi cabaran dalam usaha mencapai cita-cita.


6. Kita hendaklah berhati-hati sebelum terlambat.

7. Janganlah kita mudah berasa kecewa atau berputus asa dalam menghadapi dugaan hidup

...............................................................................................................................

B. SYAIR KELEBIHAN ILMU

MAKSUD

1. Rangkap 1 - Ilmu sangat bermanfaat kerana dapat menjadi panduan hidup memperoleh ilmu ,sepanjang hayat ilmu itu dapat dimanfaat.

2. Rangkap2 - Ketinggian nilai ilmu tidak dapat ditukarkan walaupun dengan sebuah dunia, faedah ilmu tidak terhad dan boleh dimanfaatkan di mana-mana saja.

3. Rangkap 3 - llmu menjadi penghias dari bagi seseorang ,menjadi sahabat ,dan menjadi teman yang memberikan panduan semasa mengembara. Dalam masyarakat,ilmulah yang membezakan seseorang daripada yang lain .

4. Rangkap 4 - Ilmu dapat menghiburkan hati yang sedih, membantu seseorang memahami sesuatu perkara dengan jelas,dan digunakan selepas seseorang itu mati atau menjadi bekalan di alam kubur. Hidup menjadi lebih bahagia dengan adanya ilmu.

5. Rangkap 5 - Orang yang berilmu akan mendapat ganjaran pahala.Ilmu yang merangkumi seluruh kehidupan dapat membantu seseorang mencapai cita-citanya.

6. Rangkap 6 - Ilmu ialah alat yang amat besar faedahnya. Orang yang bijaksana amat ingin memiliki ilmu. Sesungguhnya bidang ilmu sangat luas dan tiada batasnya.


ISI DAN PERSOALAN

1. Pentingnya ilmu dalam kehidupan .
2. Besarnya manfaat ilmu kepada seseorang .
3. Luasnya bidang ilmu tiada batasnya .
4. Pentingnya ilmu demi kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat


BENTUK DAN CIRI-CIRI SYAIR

1. Enam rangkap.
2. Empat baris serangkap
3. Semua rangkap adalah maksud
4. Empat hingga enam patah kata sebaris
5. Sembilan hingga dua belas suku kata sebaris


GAYA BAHASA DAN KEINDAHAN BUNYI

1. Pemilihan kata (diksi)yang indah .Contohnya, cerah cahaya ,beramal subur.
2. Repitasi . Contohnya, hias senjata si polan si polan.
3. Perlambagan. Contohnya , kandil (bekalan)
4. Pengulangan kata sendi. Contohnya, di laut, di darat, di rimba, di pekan
5. Anafora . Contohnya , Ia penerang jalan ke syurga ;Ia pemuas tekak yang dahaga
6. Bahasa kiasan. Contohnya , Ialah sungai ialah telaga, laut yang luas ialah juga.
7. Asonansi. Contohnya , Ia pemuas tekak yang dahaga (pengulangan vokal "a")
8. Aliterasi. Contohnya , sebuah dunia belinya bukan (pengulangan konsonan vokal "b")


NILAI

1. Kerajinan. Contohnya, rajin menuntut ilmu supaya dapat menjadi panduan dalam kehidupan
2. Kegigihan. Contohnya berusaha dan gigih menuntut ilmu.


PENGAJARAN

1. Kita hendaklah menuntut ilmu kerana ilmu amat berguna sama ada semasa kita hidup atau pun selepas kita mati
2. Kita hendaklah menghargai ilmu kerana ilmu amat tinggi martabatnya
3. Kita hendaklah menggunakan ilmu untuk mencapai cita-cita.

No comments:

Post a Comment