Friday, September 25, 2009

TIMES : SPM2009 Last Minute Tips - Sejarah

Sejarah

SPM Sejarah terdiri daripada dua kertas soalan iaitu Kertas 1 (berbentuk objektif) – tempoh masa 1 jam dan Kertas 2 (berbentuk subjektif) – tempoh masa 2 jam 30 minit. Ikutilah panduan ini untuk menjawab kertas-kertas soalan tersebut.

Kandungan
1. Strategi Menjawab Kertas 1
Bentuk Soalan
Soalan Aneka Pilihan
Soalan Aneka Gabungan
Soalan Pemahaman Konsep
Soalan Bertanyakan Sebab Musabab atau Faktor
Soalan Akibat atau Kesan
Peranan dan Sumbangan Tokoh
Soalan Kemahiran Berfikir
2. Strategi Menjawab Kertas 2
Membaca Soalan
Memilih Soalan
Merangka Jawapan
Menulis Jawapan
Menyemak Jawapan
Pengurusan Masa
3. Kelemahan Jawapan Pelajar
Kurang Memahami Arahan Soalan
Tidak Memahami Kehendak Soalan
Skop Jawapan Tidak Mengikut Peruntukan Markah
Fakta Sejarah Kurang Tepat
Kelemahan Teknik Penulisan
Calon Tidak Menjawab Langsung Soalan Kemahiran Berfikir
Calon Tidak Tahu Teknik Mengulangkaji Buku Sejarah
1. Strategi Menjawab Kertas 1
Baca dengan teliti dan fahamkan soalan dan gariskan kehendak soalan. Berikan perhatian setiap frasa dan kata kunci yang penting dalam soalan dan pernyataan yang diberikan.
Kenal pasti kehendak soalan sama ada definisi sesuatu istilah, faktor, kesan, kronologi peristiwa, sumbangan tokoh, matlamat sesuatu organisasi atau soalan menanyakan sesuatu nilai murni atau unsur patriotisme.
Bagi soalan yang mudah, tentukan pilihan jawapan yang tepat dan abaikan perangkap jawapan atau pengganggu jawapan.
Bagi menjawab soalan yang sukar, calon perlu membaca semua pilihan jawapan yang diberikan dan menyingkirkan setiap perangkap jawapan sehingga tinggal satu sahaja jawapan yang tepat.
Kenal pasti fakta yang kurang tepat dan kurang penting yang menjadi perangkap atau pengganggu jawapan.
Jawab soalan yang senang dahulu, tandakan (bulatkan) nombor soalan yang sukar dan jawab kemudian.
Pindahkan jawapan ke dalam borang OMR dengan teliti dan hitamkan pilihan jawapan selari dengan nombor soalan.
Masa menjawab bagi satu soalan ialah satu minit tiga saat, jangan mengambil masa terlalu lama untuk menjawab satu-satu soalan.
Peruntukan masa yang mencukupi untuk menyemak pilihan jawapan dan borang jawapan OMR.
Bentuk Soalan

Soalan objektif Kertas 1 mengandungi dua bentuk iaitu aneka pilihan dan aneka gabungan. Dalam soalan objektif aneka pilihan pelajar perlu memilih satu sahaja jawapan yang tepat daripada A, B, C dan D. Manakala soalan aneka pelengkap memerlukan pelajar memadankan pilihan jawapan yang mengadungi fakta yang tepat sama ada I dan II; I dan IV atau II dan III atau III dan IV.

Soalan Aneka Pilihan

Bagaimanakah Perang Dunia Kedua (1939-1945) bermula di Eropah?

A Rusia memasuki Berlin
B Itali menceroboh Perancis
C Jerman menyerang Poland
D Austria mengancam Serbia

Ulasan Jawapan:
Soalan ini berbentuk secara langsung dan agak mudah dijawab. Justeru pelajar tidak perlu mengambil masa yang agak lama untuk menjawab soalan ini. Soalan ini dikemukakan kepada calon berasaskan kepada topik bab 9 Malaysia dalam Kerjasama Antarabangsa. Perang Dunia Kedua meletus apabila Jerman menyerang Poland dari Barat manakala USSR menyerang Poland dari timur. Serangan itu menyebabkan Britain dan Perancis mengisytiharkan perang terhadap Jerman. Ketiga-tiga perangkap jawapan ini iaitu pilihan jawapan A, B dan D mengandungi fakta yang tidak tepat dan kurang penting. Jawapannya ialah C.

Soalan Aneka Gabungan

Perlembagaan Malaysia menetapkan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong. Antara berikut yang manakah bidang kuasa baginda?
I Membubarkan Parlimen
II Mengisytiharkan darurat
III Mengetuai Kerajaan Persekutuan
IV Mempengerusikan perkhidmatan awam

A I dan II
B I dan IV
C II dan III
D III dan IV

Ulasan Jawapan:
Soalan ini agak sukar jika pelajar tidak dilengkapi dengan fakta tentang sistem pemerintahan di negara kita. Sistem Raja Berperlembagaan merupakan tonggak keagungan kerajaan Malaysia sejak merdeka hingga kini. Sistem ini membantu memantapkan kewibawaan institusi beraja di negara kita di samping memberikan keseimbangan kepada raja yang menaungi rakyat dan rakyat yang dinaungi oleh raja. Jawapannya ialah A (I dan II).

Soalan Pemahaman Konsep

Soalan bentuk pemahaman konsep menguji kefahaman calon mengenai sesuatu ideologi, pemikiran, dasar, falsafah, dan istilah yang penting dalam sejarah peradaban manusia.

Contoh soalan (i) :

Berdasarkan pernyataan di atas bagaimanakah legalisme dilaksanakan?
A Juri dilantik daripada kalangan bangsawan
B Raja harus memiliki kuasa yang utuh
C Rakyat di bawah penguasaan tentera
D Hakim dibayar gaji yang tinggi

Contoh soalan (ii) :

Bagaimanakah Rome menjadi sebuah republik pada tahun 509 S.M.?
A Penaklukan orang gasar
B Penjajahan Julius Caesar
C Pertabalan Maharaja Augustus
D Pemberontakan golongan patrician

Contoh soalan (i) :

Bagaimanakah cara hidup masyarakat Arab Jahiliah?
A Memencilkan diri
B Mengelak ancaman musuh
C Mengamalkan semangat kesukuan
D Mengamalkan kepercayaan politeisme

Ulasan Jawapan:
Perkataan yang ditanda gariskan di atas adalah contoh istilah atau konsep yang sering disoal pada setiap tahun. Pelajar mesti memahami maksud perkataan yang ditanda gariskan untuk memahami soalan. Jika pelajar tidak memahami istilah-istilah tersebut sudah tentulah calon mudah terkeliru dengan pengganggu (distraktor) yang diberi. Cuba cari jawapan bagi soalan tersebut.

Soalan Bertanyakan Sebab Musabab atau Faktor

Pelbagai teknik penyoalan dikemukan kepada calon sama ada bertanyakan dalam bentuk persoalan mengapakah, tujuan punca dan faktor. Pelajar perlu memilih jawapan yang tepat berpandukan kepada kepada sebab yang paling relevan dengan kehendak soalan.

Contoh soalan (i)

Mengapakah Sultan Mansur Shah menghantar kitab al-Dur al-Manzum ke Samudera Pasai?
A Untuk dibahaskan
B Sebagai mas kahwin
C Untuk diterjemahkan
D Sebagai tanda persahabatan

Contoh soalan (ii)

Mengapakah Jata Negara penting kepada warganegara Malaysia?
I Memupuk perpaduan
II Menanam semangat patriotisme
III Mengukuhkan kedaulatan sultan
IV Menjaga hak ketuanan Melayu

A I dan II
B I dan IV
C II dan III
D III dan IV

Ulasan Jawapan:
Kedua contoh soalan di atas adalah mengenai sebab atau faktor. Kadangkala soalan menyediakan hanya satu pilihan jawapan dan kadang kala soalan menyediakan lebih daripada dua pilihan jawapan. Pelajar mesti berhati-hati dan menimbangkan semua fakta sebelum memilih jawapan yang tepat dan betul. Jawapan bagi contoh soalan (i) ialah C manakala jawapan bagi contoh soalan (ii) ialah A (I dan II).

Soalan Akibat atau Kesan

Soalan bentuk ini menghendaki pelajar memahami kesan akibat daripada sesuatu peristiwa, pelaksanaan daripada sesuatu perjanjian, dasar, tindakan atau akta yang dilaksanakan terhadap sesebuah bangsa dan masyarakat dunia. Pelajar perlu mengenal pasti sesuatu kesan.

Contoh soalan (i):

Jadual 1 berkaitan dengan peristiwa pengenalan Malayan Union di Tanah Melayu.

Tahun
Peristiwa

1946
Pengenalan Malayan Union


Jadual 1

Apakah kesan peristiwa tersebut kepada orang Melayu?
A Perpaduan kukuh
B Ekonomi meningkat
C Budaya berkembang
D Kuasa Sultan bertambah

Contoh soalan (ii)

Perjanjian Tordesillas telah ditandatangani pada tahun 1494.
Apakah kesan perjanjian tersebut?
A Pembahagian kawasan pengaruh
B Pembayaran pampasan perang
C Keruntuhan institusi beraja
D Kemunculan negara baru

Ulasan Jawapan:
Kedua soalan di atas merujuk kesan sesuatu peristiwa terhadap perkembangan politik, ekonomi ataupun sosial sesuatu zaman. Oleh itu pelajar mesti memahami kaitan sebab dan kesan dalam peristiwa sejarah. Jawapan bagi contoh soalan (i) ialah A manakala jawapan bagi contoh soalan (ii) ialah A.

Peranan dan Sumbangan Tokoh

Pelajar perlu mengetahui dan meneliti sumbangan serta peranan seseorang tokoh yang terkenal dalam setiap tamadun dan sesuatu peristiwa sejarah itu. Pelajar perlu memahami pemikiran serta idea setiap tokoh terutamanya yang melibatkan ahli falsafah, tokoh intelektual, pemimpin negara dan pemimpin persatuan.

Contoh soalan (i)

Apakah sumbangan Ibn Battuta yang menjadi rujukan sehingga kini?
A Merancang strategi perang
B Mengasas teori matematik
C Memperkenalkan ilmu perubatan
D Mencatat kawasan pengembaraan dengan tepat

Contoh soalan (ii)

Apakah sumbangan tamadun Mesir Purba?
I Kolar kuda
II Pedati beroda
III Sistem kalendar
IV Tulisan hieroglif

A I dan II
B I dan IV
C II dan III
D III dan IV

Ulasan Jawapan:
Soalan sumbangan biasanya merujuk kepada pencapaian sesuatu tokoh atau pencapaian sesuatu tamadun. Jika sumbangan tokoh atau tamadun itu terlalu banyak, maka pelajar harus mengingat sumbangan yang paling penting diikuti dengan sumbangan-sumbangan lain yang kurang penting. Jawapan bagi contoh soalan (i) ialah D manakala jawapan contoh soalan (ii) ialah D (III dan IV)

Soalan Kemahiran Berfikir

Pelajar juga perlu membiasakan diri dengan soalan Kemahiran Berfikir seperti membanding membeza, meramal, menganalisis, mengaplikasi, mensintesis, menyelesaikan masalah dan mengambil iktibar daripada sesuatu peristiwa atau fakta sejarah.

Contoh soalan (i)

Jadual 1 merujuk kepada penubuhan parti politik di Sabah.

Tahun
Pertubuhan

1961
Parti Perikatan Sabah

1962
Parti Perikatan Sarawak


Jadual 2

Apakah persamaan pertubuhan tersebut?
A Menyokong gagasan Malaysia
B Menuntut kemerdekaan negeri
C Mengembalikan kuasa rakyat
D Menyekat pengaruh komunis

Contoh soalan (ii)

Apakah pengajaran kepada masyarakat Tanah Melayu sekiranya ingin menguasai semula perlombongan bijih timah daripada pelombong Eropah pada abad ke-20?
I Mengumpul modal
II Menguasai teknologi
III Membayar pampasan
IV Mempunyai pasaran baru

A I dan II
B I dan IV
C II dan III
D III dan IV

Ulasan Jawapan:
Sila cari jawapannya di dalam buku teks bagi soalan (i) dan soalan (ii).

2. Strategi Menjawab Kertas 2
Membaca Soalan

Pelajar seharusnya membaca dengan teliti setiap arahan soalan, kehendak dan tugasan soalan. Pelajar perlu membaca dan memahami arahan soalan terlebih dahulu. Arahan soalan bagi Kertas 2 menjelaskan bahawa pelajar perlu menjawab semua soalan struktur daripada Bahagian A dan 3 soalan daripada mana-mana lima soalan dalam Bahagian B. Manakala jawapan perlu dikemukakan dalam bentuk esei.

Kemudian baca frasa demi frasa serta perkataan yang terdapat dalam soalan. Fahami dan selami maksud soalan serta pernyataan yang ada kaitan dengan soalan. Serentak dengan itu, garis atau bulatkan kehendak soalan yang menjadi kata kunci penting dalam setiap soalan. Jika pelajar terlepas pandang kata kunci tersebut kemungkinan jawapan pelajar akan terpesong.

Berdasarkan analisis soalan tahun-tahun lepas, terdapat pelbagai aspek tugasan soalan yang perlu diberi perhatian. Berikut adalah tugasan soalan yang sering ditanya.

Bil.
Tugasan soalan
Contoh

1.
Konsep, takrif, maksud
Matrilineal, politeisme, monarki, oligaki, tirani

2
Sebab-musabab, faktor, punca
Faktor imperialisme barat, faktor kebangkitan semangat kebangsaan, sebab pembentukan Malaysia

3.
Ciri-ciri
Ciri Sistem Ahli, ciri kerajaan agraria dan maritim

4.
Kesan
Kesan Revolusi Pertanian, Revolusi Perindustrian

5.
Matlamat
Penubuhan ASEAN, Komanwel, OIC, PBB, NAM

6.
Peranan, sumbangan, perjuangan
Dato’ Onn Jaafar, Abdul Rahman Limbong, Kesatuan Melayu Muda

7.
Perkembangan
Perkembangan mata wang, Proses penggubalan undang-undang

8.
Langkah, kronologi peristiwa
Penentangan Tok Janggut

9..
Pendapat, kemahiran berfikir
Berdasarkan pengetahuan sejarah anda, buktikan,

10.
Perbandingan
Agraria dengan maritim, Adat Perpatih dan Adat Temenggung



Memilih Soalan

Pelajar perlu memilih soalan yang mereka tahu sepenuhnya isi-isi jawapan yang perlu dikemukakan dengan tepat. Pilihlah soalan yang mudah dijawab kerana pelajar akan dapat menjawabnya dengan lancar. Tentukan yang anda dapat mengemukakan isi-isi jawapan mengikut kehendak soalan serta memenuhi markah yang diperuntukan dalam setiap ceraian soalan. Setiap isi (fakta, huraian dan contoh) diperuntukan satu markah. Jika markah yang diperuntukan ialah 5 markah bermakna pelajar mesti mampu menyediakan sekurang-kurangnya lima isi.

Merangka Jawapan

Sebelum menulis jawapan pelajar perlu merangka isi yang hendak dikemukakan.
Rangka jawapan penting untuk menghasilkan jawapan yang teratur, tidak mengulangi fakta, tidak terpesong daripada kehendak soalan, mengelakkan pelajar daripada meninggalkan isi-isi penting. Pelajar juga akan dapat menulis jawapan dengan lancar. Rangka jawapan boleh berpandukan kepada kunci kata yang mudah difahami serta diingati. Rangka jawapan boleh ditulis menggunakan perkataan yang ada kaitan dengan tema. Berikut adalah contoh-contoh rangka jawapan.

Kunci Kata
Rangka jawapan boleh berpandukan kepada kunci kata (poin penting) yang terdapat dalam subtopik tertentu. Kata kunci yang dipilih berdasarkan idea-idea serta fakta dalam tajuk tersebut.

Soalan :
Jelaskan faktor yang mempengaruhi kemunculan bandar baru pada awal kurun ke-20 di Tanah Melayu.
Rangka jawapan bagi soalan di atas berdasarkan tema-tema berikut;
...Perlombongan
...Ekonomi moden
...Pertanian dagangan
...Pengangkutan
...Pusat Pentadbiran
...Persimpangan jalan
...Penduduk
...Penghijrahan

Menulis Jawapan

Pelajar perlu menulis jawapan bagi soalan paling mudah terlebih dahulu. Pelajar tidak perlu menulis pendahuluan dan kesimpulan kerana tidak ada markah diperuntukkan jika berbuat demikian.

Huraikan fakta dengan ayat yang lengkap. Ayat yang dibina mestilah ringkas, mudah difahami dengan tepat. Elakkan membina ayat yang tergantung dan dalam bentuk catatan ringkas. Berikan sekurang-kurangnya dua contoh bagi soalan yang berkehendakkan contoh.

Bagi setiap isi jawapan perlu mengandungi isi yang ada kaitan dengan fakta. Susunkan fakta-fakta dalam perenggan yang sesuai supaya jawapan yang dikemukakan memperlihatkan kebolehan serta kemahiran mengenai pengetahuan sejarah dan kematangan calon sendiri. Jumlah isi atau panjang serta pendek jawapan bergantung kepada peruntukan markah yang tertera di bawah soalan.

Tuliskan dengan terang, kemas, bersih dan mudah dibaca. Gunakan penanda wacana yang sesuai bagi mengaitkan sesuatu ayat seterusnya atau dengan perenggan lain. Sediakan ruang kosong di akhir jawapan bagi membolehkan calon menambah isi jawapan yang tertinggal.

Menyemak Jawapan

Semak jawapan anda sama ada nombor soalan ditulis mengikut jawapan yang ditulis. Pastikan ejaan nama-nama tokoh dan perjanjian ditulis dengan tepat. Calon dikehendaki meluangkan masa menyemak jawapan yang ditulis supaya tidak tertinggal isi-isi penting.

Pengurusan Masa

Pelajar perlu menguasai kemahiran mengeluarkan ilmu yang telah dipelajari dalam bentuk isi-isi jawapan dalam tempoh yang ditetapkan secara cekap, tepat dan cepat. Justeru 5 hingga 6 minit perlu digunakan untuk membaca arahan pada kertas soalan, membaca semua soalan, memilih soalan, menyediakan rangka jawapan. Jangan terlalu lama menjawab satu-satu soalan sehingga mengabaikan soalan lain yang sepatutnya dijawab.

3. Kelemahan Jawapan Pelajar
Pelajar perlu menguasai kemahiran, strategi, teknik dan kaedah menjawab soalan dengan betul dan tepat. Pelajar perlu membaca dengan teliti, merancang, berfikir, cekap mencatat isi (fakta, huaraian dan contoh) menulis dengan sistematik, dan menyemak jawapan. Ramai pelajar gagal mendapat markah yang baik kerana melakukan kesalahan berikut:

Kurang Memahami Arahan Soalan

Setiap pelajar mesti menjawab semua soalan Bahagian A dan tiga soalan daripada Bahagian B. Terdapat pelajar yang menjawab empat hingga lima soalan di Bahagian B. Tindakan menjawab tidak mengikut arahan soalan akan merugikan masa dan menyebabkan pelajar hilang tumpuan untuk menjawab soalan yang sepatutnya.

Tidak Memahami Kehendak Soalan

Terdapat di kalangan pelajar yang kurang memahami kehendak soalan kerana membaca sekali lalu sahaja. Pelajar seharusnya membaca dengan teliti kata tugasan soalan dan kehendak soalan. Jika tidak nanti, lain yang ditanya, lain yang dijawab.

Skop Jawapan Tidak Mengikut Peruntukan Markah

Dalam Kertas 2, calon mesti meneliti jumlah markah yang terdapat pada hujung soalan untuk memahami kehendak isi jawapan. Jika markahnya banyak (misalnya 8 markah) sudah tentulah jawapannya agak panjang kerana pelajar perlu mencari 8 isi. Ramai pelajar menjawab terlalu pendek untuk menjawab soalan yang banyak peruntukan markah dan setengahnya pula ada yang menjawab terlalu panjang untuk markah yang sedikit.

Fakta Sejarah Kurang Tepat

Pelajar seharusnya mengetahui dan memahami fakta sejarah dengan jelas dan tepat. Latar tempat, latar masa, nama tokoh, nama peristiwa, nama perjanjian, nama organisasi, peristiwa yang berlaku dan sebagainya merupakan perkara penting yang perlu ditulis dengan tepat.

Kelemahan Teknik Penulisan

Mengikut arahan soalan, pelajar perlu menulis esei bagi soalan Kertas 2. Penulisan esei memerlukan pelajar membina ayat yang lengkap, gramatis dan mudah difahami serta boleh memberi makna kepada fakta sejarah yang dipaparkan. Namun demikian, kesilapan yang sering dilakukan oleh sesetengah pelajar ialah membina ayat tergantung, umum dan menggunakan ‘point form’

Sungguhpun isi jawapan serta fakta yang ditulis itu betul dan tepat tetapi ayat yang dibina tidak dapat berdiri sendiri atau difahami dengan sempurna. Kesilapan ini menyebabkan pelajar diberi separuh markah separuh daripada markah penuh.

a) Ayat yang tergantung:
Soalan : Terangkan empat cara penyebaran ajaran Islam di Asia Tenggara (8 markah)

Contoh jawapan:

- Pedagang Islam menjalin hubungan perdagangan (0/1 m)
- Mereka mengembangkan ajaran Islam (0/1 m)

Ayat sepatutnya :

“Pedagang Islam keturunan Arab, Cina dan India (1 m) telah menjalin hubungan perdagangan dengan pelabuhan utama di Asia Tenggara” (1 m).

“Mereka mempunyai sikap mahmudah dan tingkah laku yang baik (1m) menyebabkan ramai penduduk tempatan memeluk agama Islam” (1m).

“Pedagang juga membawa bersama ulama dan pendakwah (1m) dan menetap di pelabuhan yang mereka singgah.”(1m)

Ayat yang dibina di atas lengkap dan boleh berdiri sendiri. Jawapan ini diberi 6 markah.

b) Menulis “Point Form”
Soalan : Jelaskan sembilan kejayaan yang dicapai oleh ASEAN (9 markah)

Contoh jawapan :

- mesyuarat Menteri Luar ASEAN
- menandatangani deklarasi Kuala Lumpur
- ZOPFAN
- projek baja urea
- RECSAM
- SEAMEO
- EAEC

Jawapan di atas menggambarkan pelajar tersebut tahu tentang isi jawapan tetapi tidak tahu hendak menghuraikannya kerana ketidakcukupan maklumat.

Oleh kerana tidak dapat memperkembangkan isi, pelajar tersebut tidak berjaya mendapat markah penuh.

c) Membina jadual :
Adakalanya pelajar tersilap langkap apabila menjawab dengan menggunakan jadual. Kemungkinan ada pelajar yang menganggap mereka akan memperolehi markah penuh dengan berbuat sedemikian. Sebenarnya, membina jadual belum menunjukkan yang pelajar tersebut telah menjawab soalan dalam bentuk esei. Tiada arahan soalan yang meminta pelajar mengemukakan jadual. Sungguhpun pelajar yang membina jadual itu mengetahui dengan lengkap fakta-fakta yang perlu dikemukakan tetapi dengan membina jadual akan menjejaskan markah penuh pelajar yang sepatutnya diperolehi. Contoh jadual yang dibina;

Soalan : Bezakan antara ciri-ciri Adat Temenggung dengan Adat Perpatih

Adat Temenggung
Adat Perpatih

Mengutamakan kaum lelaki
Mengutamakan kaum perempuan

Pemerintahan bercorak autokrasi
Pemerintahan bercorak demokratik

Hukuman menghukum penjenayah
Hukuman bersifat pemulih

Berkahwin dengan siapa sahaja yang dibenarkan oleh hukum syarak
Berkahwin dengan suku kaum lain

Mengutamakan anak lelaki mewarisi harta
Mengutamakan anak perempuan mewarisi harta

Pelajar hanya diberi 5/10 markah jika menulis jawapan dalam bentuk jadual.

Calon Tidak Menjawab Langsung Soalan Kemahiran Berfikir
Soalan Kemahiran Berfikir bertujuan menduga sejauhmana kefahaman calon dan ketajaman pemikiran calon SPM terhadap sesuatu isu yang berkaitan dengan fakta sejarah. Kebanyakan soalan Kemahiran Berfikir di Bahagian A (Soalan Struktur) terdapat di pecahan soalan (d) atau (e) yang menyumbang kepada 3 markah. Manakala Soalan Kemahiran Berfikir di Bahagian B biasanya terdapat pada pecahan soalan bahagian (c). Malangnya ramai calon enggan menjawab soalan tersebut kerana dikatakan sukar mencari fakta yang logik, betul dan tepat dengan soalan. Sebagai contoh lihat ceraian soalan SPM 2007 dan SPM 2008 :
Bahagian A (Struktur)

Ceraian Soalan Sejarah SPM 2007

1 (e) Senaraikan tiga ikhtibar yang boleh diambil oleh generasi muda hari ini daripada masyarakat kerajaan maritim (3 markah)

2 (d) Sekiranya anda dilantik menjadi pemimpin Malaysia, bagaimanakah anda mengamalkan ciri kepimpinan Islam dalam pentadbiran (3 markah)

3 (e) Slogan “Beban Orang Putih” digunakan oleh kuasa British dan Belanda atas alasan untuk memimpin masyarakat Timur ke arah kesejahteraan. Adakah anda bersetuju dengan alasan tersebut?
Beri pandangan anda. (3 markah)

4 (e) Tindakan bijak Tunku Abdul Rahman membentuk Malaysia memberi kebaikan kepada rakyat negara kita sehingga kini.
Berikan dua bukti untuk menyokong pernyataan ini. (3 markah)

Ceraian Soalan Sejarah SPM 2008

1 (e) Pada pandangan anda, apakah kebaikan sistem pemerintahan demokrasi kepada sesebuah negara? ( 2 markah)

2 (d) Jelaskan iktibar yang boleh diambil daripada Perjanjian Hudaibiyah demi memperkukuhkan perpaduan dan keamanan negara kita Malaysia. (3 markah)

3 (e) Pada pandangan anda mengapakah penentangan tersebut gagal? (2 markah)

4 (d) Pada pandangan anda, adakah PBB berjaya melaksanakan tanggungjawab sebagai badan pengaman dunia? Beri alasan anda. (2 markah)

Bahagian B (Esei)

Ceraian Soalan Sejarah SPM 2007

7 (c) Negara kita Malaysia dibentuk tanpa pertumpahan darah. Jelaskan pernyataan di atas berdasarkan pengetahuan sejarah anda (4 markah).

9 (c) Dasar luar Malaysia yang mengutamakan kesejahteraan serta keamanan serantau dan dunia telah memberi kebaikan kepada negara kita.
Jelaskan pernyataan di atas berdasarkan pengetahuan sejarah anda. ( 6 markah)

Ceraian Soalan Sejarah SPM 2008

5 (c) Berdasarkan pemerhatian anda, apakah pencapaian Malaysia kini yang boleh menjadi kebanggaan generasi akan datang? (6 markah)

6 (c) Bagaimanakah pengamalan ciri-ciri kehidupan masyarakat Arab Jahiliah menghalang pembentukan masyarakat bermoral? (6 markah)

7 (c) Berikan empat cadangan kepada generasi muda hari ini supaya menjadi warga Malaysia yang berupaya mempertahankan kedaulatan negara. (4 markah).

8 (c) Apakah tindakan yang sepatutnya diambil oleh pembesar Melayu untuk memastikan mereka terus menguasai perlombongan bijih timah pada masa itu? (8 markah).

9 (c) Jelaskan peranan generasi muda Malaysia dalam memajukan ekonomi negara.

Cuba bandingkan bentuk soalan kemahiran berfikir pada tahun 2007 dengan 2008. Soalan struktur dan esei 2008 lebih banyak menggunakan hasil pembelajaran aras tiga Huraian Sukatan Pelajaran Malaysia (HSP) Sejarah. Sebagai panduan, cuba cari isi jawapan soalan tersebut berdasarkan buku teks, buku rujukan atau pembacaan anda. Jika anda masih tidak dapat mencari isi menggunakan cara tersebut, gunakanlah logik akal anda. Tulis semua isi yang anda fikirkan berdasarkan logik akal (common sense) dan tulis dalam ayat yang lengkap. Mana-mana jawapan anda yang difikirkan paling munasabah dan hampir dengan skema jawapan biasanya akan dianggap betul oleh pemeriksa!

Calon Tidak Tahu Teknik Mengulangkaji Buku Sejarah

Membaca merupakan satu proses yang penting bagi memahami peristiwa sejarah. Biasanya pelajar mudah bosan, jemu, mengantuk, kurang tumpuan dan fikiran mereka mula menerawang ke sana kemari ketika membaca atau mengulangkaji buku sejarah. Oleh itu penulis mencadangkan agar pelajar membaca secara kritikal. Apakah membaca secara kritikal? Membaca secara kritikal adalah kaedah yang betul semasa membaca buku sejarah. Dengan menggunakan cara ini anda merasa seronok dan anda tidak akan merasa bosan. Minat juga mula timbul apabila anda mula memahami isi kandungan yang dibaca. Langkah-langkah berikut perlu diambil bagi memastikan pelajar membaca secara kritikal, aktif dan berkesan.

• Pilih masa belajar yang sesuai
• Mengumpulkan semua bahan yang diperlukan pada suatu tempat
• Pastikan kedudukan badan yang betul dengan buku dijarakkan satu kaki dari mata
• Mulakan dengan membaca Bismillah dan doa penerang hati.
• Melihat sekali imbas. Tujuannya supaya anda dapat gambaran kasar mengenai bahan yang mahu dibaca. Apabila anda jelas apa yang bakal anda temui semasa membaca, ia dapat merangsang minat. Lihat tajuk-tajuk kecil dan lihat perkaitan tajuk-tajuk kecil tersebut. Amati rajah, peta, jadual, carta, ilustrasi, gambar dan sebagainya. Lihat soalan-soalan yang ada di bab tersebut. Catatkan sebarang persoalan sekiranya ada.
• Baca pendahuluan dan kemudian baca bahagian kesimpulan dan penutup. Biasanya penulis buku teks menerangkan apa yang anda ingin ketahui di bahagian pendahuluan dan membuat rumusan di bahagian penutup.
• Baca secara terperinci ayat demi ayat dan perenggan demi perenggan. Setiap ayat itu penting kerana ia menjelaskan setiap konsep dan istilah yang ada.
• Terjemahkan setiap penjelasan itu di dalam peta minda. Jangan pindah perenggan selagi anda tidak memahami apa yang anda sedang baca. Perlahankan rentak bacaan anda di bahagian yang sukar. Ulang baca beberapa kali sekiranya perlu.
• Gariskan fakta penting dan highlight setiap kata kunci.
• Yakinkan diri yang anda menguasai apa yang anda baca.
• Selepas habis satu perenggan, satu muka surat ataupun satu sub topik, tutup buku anda dan gambarkan semula apa yang anda baca. Ambil sehelai kertas kosong atau buku nota dan lakarkan kembali apa yang anda baca dalam bentuk lakaran peta minda. Setiap setengah jam, rehatlah sebentar kira-kira 5 minit.
• Akhir sekali, setelah selesai mengurang kaji luangkan masa antara 60 hingga 90 saat. Buat proses dumping. Keluarkan apa yang anda tahu dan buat dalam bentuk contengan. Anda tidak perlu menulis dengan kemas kerana ia bukan untuk nota simpanan, sebaliknya untuk lakaran idea sahaja.
• Cubalah! Mudah bukan? Selamat belajar.

No comments:

Post a Comment