Friday, September 25, 2009

TIMES : SPM2009 Last Minute Tips - Bahasa Melayu

Bahasa Melayu

SPM Bahasa Melayu mengandungi Kertas 1 (Bahagian A: karangan berpandu/bahan rangsangan & Bahagian B: Karangan Esei) dan Kertas 2 (Rumusan, Pemahaman, Tatabahasa, dan Novel). Ikutilah panduan ini untuk menjawab kertas-kertas soalan tersebut.

Kandungan
1. Strategi Menjawab Kertas 1
Bahagian A
Tips
Aspek Kelemahan Calon
Bahagian B
Tips
Aspek Kelemahan Calon
2. Strategi Menjawab Kertas 2
Soalan 1: Rumusan
Tips
Aspek Kelemahan Calon
Soalan 2 – Pemahaman
Tips
Aspek Kelemahan Calon
Soalan 3 – Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
Tips
Aspek Kelemahan Calon
Soalan 4 – Novel
Tips
Aspek Kelemahan Calon
1. Strategi Menjawab Kertas 1
Bahagian A
soalan berpandu yang memerlukan calon menjawab antara 200 hingga 250 patah perkataan

Tips
Calon perlu menjawab mengikut arahan soalan. Sekiranya arahan memerlukan calon mengemukakan faktor, begitu juga sekiranya kesan, kemukan pendapat kerkenaan kesan sebagai isi.
Calon dibenarkan menjawab seberapa panjang yang boleh iaitu melebihi 250 patah perkataan, walau bagaimanapun, calon dinasihatkan supaya menepati masa menjawab yang dicadangkan iaitu 45 minit agar calon boleh menumpukan perhatian kepada Bahagian B nanti.
Perlu ada pendahuluan dan kesimpulan.
Tidak perlu menulis tajuk karangan.
Gunakan penanda wacana yang menarik seperti sementelahan, malar-malar dan sebagainya serta ungkapan yang indah, contohnya ‘dalam meyusuri alaf transformasi ini…’ untuk menghasilkan karangan yang baik.
Kemukakan satu atau dua peribahasa yang bersesuaian tetapi jangan terlalu lewah dengan peribahasa sehingga menghilangkan keindahan bahasanya. Sebaik-baiknya peribahasa mengakhiri karangan supaya menjadi penutup yang berkesan terhadap isi karangan.
Beri perhatian terhadap arahan soalan kerana dalam arahan tersebut terkandung isi yang sepatutnya calon huraikan.

Aspek Kelemahan Calon
Calon menjawab terlalu panjang menyebabkan calon mengambil masa yang lama iaitu melebihi 45 minit seperti yang disarankan. Keadaan ini menyebabkan calon panik apabila kesuntukkan masa untuk menjawab soalan Bahagian B.
Calon menjawab soalan semata-mata berpandukan gambar tanpa kembangkan idea menyebabkan isi calon tidak bercambah dan isi tidak dikembangkan.
Calon tidak kemukakan peribahasa yang bersesuaian dan sebahagian besar calon langsung tidak menggunakan peribahasa dalam mengukuhkan isi.
Isi yang calon kemukakan terpesong daripada soalan, contohnya dalam arahan memerlukan calon menyatakan langkah, tetapi calon mengemukakan punca.
Calon mengemuka semua fakta seperti punca, kesan, dan langkah walhal arahan dalam soalan tersebut ialah kesan.

Bahagian B
soalan esei panjang memerlukan calon menjawab melebihi 350 patah perkataan.
Bahagian B, meliputi karangan berformat, tanpa format, dan komponen sastera iaitu berbentuk cerpen atau pendapat (kritik/ulasan).

Tips
Ayat yang digunakan perlulah pendek dan jelas untuk mengelakkan berlakunya kesalahan bahasa.
Gunakan tanda bacaan yang betul serta penanda wacana yang bersesuaian untuk menunjukkan ada kesinambungan antara isi terdahulu dengan isi seterusnya.
Cuba hasilkan karangan yang melebihi 400 patah perkataan tetapi menepati kehendak soalan dan untuk menghasilkan karangan yang lengkap setiap isi memerlukan sekurang-kurangnya dua huraian beserta dua contoh.
Sertakan antara tiga hingga empat peribahasa dan lebih ideal sekiranya karangan ditutup dengan peribahasa yang bersesuaian.
Corak soalan masa kini lebih menjurus kepada laras soalan:
Soalan 1, lebih kepada soalan berkaitan individu
Soalan 2, aspek kekeluargaan
Soalan 3, berkenaan kemasyarakatan
Soalan 4, peringkat kebangsaan atau antarabangsa
Soalan 5, aspek kesusasteraan.
Sekiranya calon kurang mahir atau kurang ilmu pengetahuan berkenaan isu semasa peringkat kebangsaan atau antarabangsa, elakkan daripada menjawab soalan tersebut. Pilihlah soalan yang calon paling arif berkenaaannya.
Terkini, soalan yang dikemukakan lebih menjuruskan kepada pengetahuan umum yang menyebabkan calon perlu membaca lebih berkenaan isu-isu semasa.

Aspek Kelemahan Calon
Calon menjawab kurang daripada 350 patah perkataan menyebabkan isi kurang dan huraian tidak lengkap.
Calon tidak kembangkan isi dan kemukakan satu contoh dan satu huraian sahaja untuk setiap isi.
Calon kemukakan terlalu banyak isi tetapi hanya dihuraikan secara umum tanpa diolah.
Calon menjawab soalan yang memerlukan pengetahuan yang luas sedangkan pengetahuan calon agak terhad. Contohnya soalan berkenaan penyakit berbahaya calon Cuma tahu berkenaan satu atau dua jenis penyakit sahaja.
Calon mengemukakan peribahasa yang salah atau tidak sesuai atau langsung tidak menyatakan peribahasa.
Idea calon terpesong daripada kehendak soalan.
Calon menggunakan perkataan yang berulang dan tidak variasi. Penanda wacana dan ungkapan juga tidak menarik.
2. Strategi Menjawab Kertas 2
Soalan 1 – Rumusan

Tips
Kata kunci bahagian pendahuluan ditukarkan kepada tema atau pokok persoalan. Contoh pendahuluan:
Sekiranya isi petikan menyatakan kesan positif - Petikan menyatakan kebaikan/faedah/manfaat/kepentingan.
Sekiranya dalam isi petikan menyatakan kesan negatif - Petikan menyatakan keburukan/impak. Arahan untuk isi tersirat tidak perlu dinyatakan dalam pendahuluan.
Ayat yang terkandung dalam satu-satu isi perlulah diambil sepenuhnya termasuk contoh untuk mengelakkan daripada tertinggalnya isi penting.
Cuba kemukakan enam isi tersurat dan dua isi tersirat kerana isi tersurat yang terkandung dalam petikan lebih tepat manakala isi tersirat daripada idea sendiri adakalanya tidak menepati kehendak soalan atau terpesong atau berulang.
Disarankan bahagian kesimpulan gunakan kata kunci Kesimpulan. Oleh itu,…agar supaya…
Sekiranya perkataan lebih daripada 120 jangan edit daripada isi tersurat. Ini bertujuan menggelakkan daripada meninggalkan isi yang penting dalam isi tersurat sebaliknya calon boleh olah semula isi tersirat supaya lebih ringkas tetapi padat untuk menepati 120 patah perkataan.

Aspek Kelemahan Calon
Pendahuluan - calon tidak kemukakan tema mengikut isi, sebaliknya menukar kata kunci isi kepada perkataan sama maksud/sinonim.
Isi tersurat - tidak lengkap kerana calon ambil sebahagian sahaja isi semata-mata untuk mengelakkan berlakunya lebihan perkataan, walhal calon sebenarnya meninggalkan isi yang penting menyebabkan markah untuk isi berkenaan berkurangan atau langsung tiada.
Calon mengemukakan isi yang tidak berkenaan kerana calon tidak faham arahan atau kehendak soalan.
Isi tersirat - calon kemukakan isi secara umum sahaja.
Isi yang dikemukan calon berulang walaupun ayatnya berbeza.
Isi terpesong daripada arahan soalan.
Kesimpulan - calon tidak kemukakan cadangan dan harapan sebaliknya mengulas semula tajuk atau isi tersurat.
Calon mengemukakan cadangan secara umum tanpa menekankan apa cadangan tersebut. Contoh - Masyarakat perlu mengatasi masalah ini. Apa yang berkaitan masalah ini tidak dikemukakan. Sepatutnya calon menulis Masyarakat perlu mengatasi masalah gejala sosial agar…
Calon mengemukakan cadangan tanpa harapan. Contohnya; Masyarakat perlu mengatasi masalah gejala sosial ini. Sepatutnya Masyarakat perlu mengatasi masalah gejala sosial ini agar negara bebas daripada ancaman jenayah.
Calon menjawab lebih daripada 120 patah perkataan menyebabkan calon hilang markah kesimpulan.

Soalan 2 – Pemahaman

Tips
Baca soalan sekurang-kurangnya dua kali untuk mengesahkan kehendak soalan.
Setiap kali selesai menulis jawapan, perlu membandingkan dengan soalan, adakah jawapan tersebut tepat atau terpesong.
Teliti jumlah markah yang dicatatkan selepas setiap soalan kerana jumlah isi biasanya bergantung kepada jumlah markah. Sekiranya markah tiga, isi yang dikemukan juga tiga.
Setiap jawapan perlu pengukuhan huraian dan contoh. Dalan soalan komsas, calon perlu kemukakan contoh daripada peristiwa yang berlaku.
Soalan berkaitan komsas seperti nilai-nilai murni, pengajaran dan watak, berbeza penggunaan bahasanya. Contoh daripada kata kunci gigih; untuk menjawab soalan:
watak - seorang yang gigih
nilai - kegigihan
pengajaran - kita mestilah gigih berusaha.
Terdapat tiga laras soalan dalam setiap petikan:
Laras pemahaman – tahap ini menguji pemahaman calon terhadap petikan. Jawapannya juga boleh diperoleh daripada petikan.
Laras analisis – bahagian ini menguji maksud perkataan/rangkai kata/maksud ayat atau soalan-soalan komsas iaitu tema, persoalan, watak, nilai-nilai murni, pengajaran, latar, gaya bahasa, plot, dan teknik plot. Jawapannya boleh diperoleh sama ada dalam petikan atau daripada keseluruhan cerita. Jawapan untuk maksud rangkai kata mestilah berdasarkan petikan bukan mengikut maksud yang terdapat dalam kamus.
Laras kemahiran berfikir/pendapat – soalan ini menguji pendapat daripada calon. Calon perlu mengemukakan idea sendiri dan tidak boleh menceduk idea daripada petikan. Apabila mengemukakan idea, elakkan daripada mengulang isi dan kemukakan tiga idea berbeza.

Aspek Kelemahan Calon
Calon tidak membaca arahan soalan dan tidak meneliti kehendak soalan.
Calon hanya mengemukakan satu isi sahaja sedangkan markah yang diperuntukkan ialah tiga.
Bahagian soalan laras pemahaman, calon kemukakan idea sendiri sedangkan jawapan terdapat dalam petikan.
Calon hanya kemukan isi sahaja tanpa hurai dan contoh.
Ayat calon tidak gramatis menyebabkan calon kehilangan markah bahasa.

Soalan 3 – Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa

Tips
Elakkan daripada melakukan kesalahan ejaan atau tatabahasa.
Sentiasa mengulang soalan atau merujuk soalan untuk pastikan setiap jawapan menepati kehendak soalan.
Walaupun arahannya sama saban tahun, calon perlu membaca arahan untuk setiap soalan.
Jawab soalan ikut urutan soalan.

Aspek Kelemahan Calon
Bina ayat
Calon melakukan kesalahan ejaan/jalan bahasa/tanda bacaan.
Calon menjadikan perkataan yang diuji sebagai kata nama khas/peribahasa/calon menambah atau mengubah imbuhan.
Menggunakan dua perkataan yang diuji dalam satu ayat.
Membina ayat yang tidak menunjukkan maksud yang sebenar atau tanpa makna atau maksud salah.
Soalan pelbagai
Soalan menyambung ayat, calon menggunakan kata hubung atau penanda wacana yang salah atau tidak sesuai atau ayat disambung di bahagian yang salah.
Soalan menukarkan ayat aktif kepada ayat pasif. Calon menggunakan di…oleh untuk kata ganti nama diri pertama dan kedua. Hukumnya salah (sila rujuk buku tatabahasa DBP untuk maklumat lanjut).
Soalan menukarkan cakap ajuk kepada cakap pindah. Calon masih menggunkan ayat cakap ajuk tanpa menukarkan kepada bahasa formal atau calon masih menggunakan perkataan ringkas seperti ‘tak’/’nak’.
Kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan
Calon menukar ejaan atau imbuhan yang sememangnya betul.
Calon juga mengubah struktur ayat.
Kesalahan penggunaan kata atau istilah
Calon membetulkan penggunaan kata atau istilah yang sememangnya betul.
Calon membetulkan ejaan walhal, kesalahan yang diuji ialah istilah dan penggunaan kata.
Calon juga mengubah struktur ayat.
Calon mengemukan peribahasa yang salah atau meletakkan kedudukan peribahasa dalam kedudukan yang salah
Calon juga menambah atau meninggalkan imbuhan yang terdapat pada peribahasa.

Soalan 4 – Novel

Tips
Calon perlu menguasai kedua-dua novel yang dipelajari semasa di Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima kerana corak soalan masa kini memerlukan calon menjawab berdasarkan kedua-dua buah novel ini contohnya soalan perbandingan.
Calon perlu tahu jalan cerita dan mengenali watak terutama watak penting secara terperinci untuk memudahkan calon mengemukakan contoh sebagai bukti.
Calon perlu mengemukakan contoh beserta huraian kerana tanpa contoh, calon tidak akan memperoleh markah.
Menggelakkan daripada melakukan kesalahan bahasa supaya markah bahasa tidak ditolak.

Aspek Kelemahan Calon
Calon tidak mengemukakan contoh dan huraian atau calon memberi contoh yang umum atau salah.
Calon tidak menguasai cerita menyebabkan isi yang dijawab setakat ala kadar.
Teknik menjawab salah. Contoh, soalan mengkehendaki calon mengemukakan watak, tetapi calon menjawab dalam bentuk nilai murni iaitu sepatutnya ‘wataknya seorang yang penyayang’ tetapi calon menjawab ‘watak sayang-menyayangi’.
Soalan perbandingan, calon tidak bandingkan antara kedua-dua novel.

No comments:

Post a Comment